Monday, October 27, 2014

RUMUSAN KEM BAKAT SUKAN BASIKAL SIRI 01/2014 DI KANGAR, PERLIS

Tarikh        : 18 hingga 25 Oktober 2014
Tempat      : Majlis Sukan Negeri Perlis, Kangar
Masa          : 6.30 pagi - 10.00 malam

Kehadiran Pegawai & Jurulatih :
En. Dinie Suhami ( Pemangku Pengurus Sukan Berbasikal, MSN )
En. Akmal Ahmad ( PPN Perlis )
En. Mohd Zairul Faiz ( PPN Wilayah Persekutuan )
Cik Nur Fatheen Khairuzan Bt Seleman ( PPN Sarawak )
12 orang Jurulatih

Kehadiran Atlet :
28 orang Atlet Lelaki
10 orang Atlet PPS Perlis ( Program Tindik )

Ulasan :

Kem Bakat Sukan Berbasikal Siri 01/2014 telah diadakan pada 18 hingga 25 Oktober 2014 bertempat di Majlis Sukan Negeri Perlis, Kangar. Program ini telah disertai oleh seramai 38 orang atlet. Bagi siri pertama ini, hanya melibatkan atlet lelaki sahaja, dan bagi atlet berbasikal wanita akan menyusul untuk siri kedua yang akan diadakan nanti. 

Hari Pertama
Ketibaan para pegawai, jurulatih dan atlet ke Majlis Sukan Negeri Perlis dan pendaftaran penginapan untuk semua. Sebelah petang telah diadakan sesi taklimat pegawai, jurulatih dan atlet bersama dengan Pemangku Pengurus Sukan Berbasikal, En. Dinie Suhami, berkenaan dengan perjalanan program sepanjang kem bakat ini. Pada sebelah malam, aktiviti ice-breaking yang dikendalikan oleh para PPN, diadakan bagi sesi suai kenal para atlet. 

Hari Kedua
Para atlet berkumpul pada jam 7.00 pagi bagi perbarisan pagi dan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku sebelum melakukan aktiviti yang lain. Aktiviti kemudiannya disambung dengan sesi dalam kelas yang dikendalikan oleh jurulatih. Antara kandungan sesi ini termasuklah sesi orientasi, pengenalan sukan dan penjagaan basikal. Pada sebelah petang pula, sesi ini disambung dengan sesi penerangan berkaitan dengan Biomekanik Basikal, yang mana meliputi aspek penggunaan basikal dengan betul termasuklah kaedah penggunaan gear. Aktiviti kemudiannya disambung dengan sesi Easy Ride di mana para atlet berkayuh sejauh 60km.

Hari Ketiga
Perbarisan pagi dimulakan lebih awal seawal jam 6.30 pagi dan ini tetap terus dilaksanakan untuk hari-hari berikutnya. Pada jadual asal, aktiviti road riding telah ditukarkan kepada sesi ceramah dan taklimat yang sepatutnya diadakan pada sebelah petang, berikutan dengan cuaca hujan di sebelah pagi. Pengisian pada taklimat ini telah disampaikan oleh jurulatih dari Pelapis Kebangsaan, berkaitan dengan acara-acara yang terdapat dalam sukan berbasikal (Road & Track Event). Sebelah petang, aktiviti dimulakan dengan sesi teknik dan kemahiran berbasikal yang meliputi teknik pecutan dan cornering skill, dan kemudian disambung dengan aktiviti road riding sejauh 50km. Aktiviti pada sebelah malam diteruskan dengan sesi bersama tokoh atlet yang merupakan bekas atlet kebangsaan iaitu, En. Edros Yunos. Beliau berkongsi pengalaman beliau menyertai skuad kebangsaan kepada para atlet. Para atlet mengambil kesempatan bertanyakan soalan berkaitan dengan sukan berbasikal. 

Hari Keempat
Seperti biasa, sesi dimulakan dengan perbarisan pagi pada jam 6.30 pagi. Sesi pada hari keempat sebelah pagi merupakan sesi ujian kecergasan para atlet. Ujian kecergasan meliputi sukatan bmi, standing broad jump, vertical jump, 1 minute push-up, 1 minute sit-up, agility t-test, dan 20m beep test. Sesi ini dikendalikan oleh pihak Pusat Satelit ISN Perlis dengan kerjasama para jurulatih. Sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan sesi kemahiran dan teknik. Sesi kali ini memfokuskan dengan teknik imbangan badan dan lebih dikenali dengan teknik "basikal perlahan".

Hari Kelima
Aktiviti pada sebelah pagi merupakan sesi road riding bermula dari Majlis Sukan Negeri Perlis menuju ke laluan Padang Besar yang melibatkan semua atlet kecuali atlet dari Program Tindik. Pada sebelah petang, sesi diteruskan pada jam 3.00 petang dengan sesi penerangan berkaitan pemakanan oleh jurulatih. Selesai sesi tersebut, satu taklimat ringkas para pegawai dan jurulatih diadakan bagi membincangkan perjalanan program ITT sejauh 10km di sekitar Pauh. Pada sebelah malam, satu sesi tayangan video telah diadakan.

Hari Keenam
Sesi pagi diteruskan dengan mini pertandingan iaitu Individual Time Trial (ITT) 10km di Pauh, Perlis yang melibatkan semua atlet termasuk seorang atlet PPS.

Keputusan :
1. Muhd Nur Aiman Rosli (Johor)
2. Mohd Mujahid B Mohd Shukri (Kedah)
3. Abdul Rahman Hamdan (Terengganu)

Pada sebelah petang, satu sesi ceramah berkaitan persediaan mental telah dikendalikan oleh jurulatih. Pengisian banyak menerangkan berkenaan persiapan mental para atlet menghadapi kejohanan. Pada sebelah malam, satu aktiviti ringkas telah diadakan bagi meningkatkan daya tumpuan para atlet.

Hari Ketujuh
Merupakan hari kemuncak di mana mini pertandingan telah diadakan. Criterium sejauh 18km mengelilingi Stadium Utama Kangar, merupakan acara yang dipertandingkan. 

Keputusan :
1. Abdul Rahman Bin Hamdan (Terengganu)
2. Nor Fahme Mohd Abdullah (Perak)
3. Muhammad Aiman Haiqal (Selangor)

Sebelah petang, satu sesi soal jawab telah dilaksanakan antara para atlet dengan jurulatih. Dalam sesi ini juga, para jurulatih mengambil kesempatan memberi kata-kata nasihat kepada atlet. Program seterusnya diteruskan dengan Majlis Penutupan Kem Bakat Sukan Berbasikal Siri 01/2014 dan penyampaian hadiah serta sijil penyertaan yang telah disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Perlis,YB Tuan Abdul Jamil Saad. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan aktiviti-aktiviti seumpamanya diadakan di Negeri Perlis di masa akan datang.

Hari Terakhir
Pergerakan pulang semua pegawai, jurulatih dan atlet ke negeri masing-masing.

Secara keseluruhan, program Kem Bakat Sukan Berbasikal ini telah berjalan dengan lancar dengan kerjasama penuh yang telah diberikan oleh setiap jurulatih dan atlet bagi menjayakan program ini. Para atlet telah menunjukkan semangat, komitmen dan disiplin yang tinggi sepanjang program ini berjalan. Para jurulatih juga telah menunjukkan komitmen yang sangat baik dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti yang telah dirancang. Diharapkan agar semangat dan komitmen seperti ini boleh diteruskan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Laporan disediakan oleh :

NUR FATHEEN KHAIRUZAN BT SELEMAN
Pegawai Pembangunan Negeri Sarawak
USPTN Sarawak

No comments:

Post a Comment